BAHASA MELAYU SPM

[Panduan Menjawab Kertas 2]

[Sinopsis Julia] [Sinopsis Perlumbaan Kedua]


TEKNIK MENJAWAB SOALAN BAHASA MELAYU KERTAS 2
Disediakan oleh : En. Ahmad Shahir bin Haji Abdullah (B.A Hons)


TEKNIK MENJAWAB SOALAN RUMUSAN : Soalan 1
1. Baca soalan dengan teliti
2. kenal pasti kata kunci soalan iaitu isu, fokus 1 dan fokus 2
3. Cari perkataan sinonim bagi fokus 1

4. Baca petikan dengan teliti.
5. Garis fakta-fakta yang berkaitan dengan fokus 1 (isi tersurat). Bilangan fakta mestilah sekurang-kurangnya 6.
6. Biasanya isi tersurat tiada dalam perenggan pertama dan terakhir.
7. Fikirkan isi yang berkaitan dengan fokus 2 (isi tersirat) – sekurang-kurangnya 2 isi.
8. Isi tersirat tidak boleh sama dengan mana-mana fakta dalam petikan.
9. Fikirkan cadangan dan harapan. Cadangan dan harapan mestilah dikaitkan dengan isu rumusan
10. Tulis rumusan dengan lengkap.
11. Calon digalakkan menulis rumusan dalam 4 perenggan iaitu perenggan pendahuluan (hanya satu ayat), perenggan isi tersurat (6 isi tersurat), perenggan isi tersirat (2 isi tersirat), dan perenggan penutup (mengandungi 1 cadangan dan 1 harapan).
12. Bilang bilangan perkataan. Perkataan ke 120 mestilah berada dalam frasa yang mengandungi idea terakhir.
13. Sekiranya perkataan melebihi 120 patah perkataan, calon hendaklah memotong / menggaris mana-mana perkataan yang tidak perlu atau isi yang tidak tepat.
14. Calon tidak perlu menulis semula rumusan kerana akan membuang/ membazir masa.
15. Tulis bilangan perkataan di bahagian bawah rumusan sebelah kanan calon (bahagian kiri kertas jawapan).
CONTOH
Soalan :
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang masalah-masalah yang timbul akibat penubuhan institusi pendidikan tinggi swasta di negara ini dan cara-cara untuk mengatasinya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kewujudan institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) bertujuan untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi sama ada di peringkat kolej ataupun universiti. Hal ini demikian kerana jumlah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang terdapat di negara ini tidak mampu menampung kehadiran pelajar yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Lantaran penubuhan IPTS diharapkan dapat menyelesaikan masalah tersebut di samping menyediakan alternatif pengajian serta peluang yang banyak untuk para pelajar mengikuti pelbagai kursus yang ditawarkan.
Kewujudan IPTS yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan itu telah menimbulkan kebimbangan kepada beberapa pihak bahawa akan berlaku persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan mutu pendidikan negara. Kini terdapat 666 buah IPTS dengan jumlah pelajar sebanyak 232,069 orang. Daripada statistik tersebut, sejumlah 60,000 orang pelajar terdiri daripada kaum bumiputera, berbanding dengan 172,000 orang pelajar bukan bumiputera. Kita sedia maklum bahawa syarikat swasta dan korporat yang mengendalikan IPTS meletakkan nilai komersial dan keuntungan sebagai matlamat yang utama. Oleh itu, tidak hairanlah jika kos pengajian di IPTS jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan kos pengajian di IPTA. Kekangan ini menyebabkan tidak ramai kaum bumiputera dapat mengikuti pelbagai kursus yang mempunyai nilai komersial dan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan.
Sememangnya tidak dinafikan bahawa untuk membolehkan IPTS terus “hidup” dan melestarikan kewujudannya, faktor keuntungan tidak boleh diketepikan. Namun hal ini tidak bermakna pihak-pihak yang mengendalikan IPTS boleh tangkap muat sahaja pelajar-pelajar yang memasuki institusi mereka. Perkara yang didapati berlaku ialah terdapat IPTS yang menerima pelajar-pelajar mengikuti pengajian di institusi mereka meskipun pelajar-pelajar tersebut tidak memiliki kelayakan akademik yang minimum. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berlaku, kita khuatir IPTS hanya akan melahirkan bilangan graduan yang ramai tetapi gagal memenuhi spesifikasi pencapaian akademik yang ditetapkan.
Tidak ada gunanya negara mempunyai kuantiti graduan yang banyak jika mereka tidak mempunyai kualiti yang boleh memberi sumbangan untuk pembangunan negara dan masyarakat. Dalam memperkatakan soal kualiti, kita juga perlu mengambil kira persoalan moral dan akhlak para pelajar di pusat pengajian tinggi swasta. Kebanyakan IPTS bersikap lepas tangan dalam menjalankan tanggungjawab membentuk sahsiah serta melengkapkan pelajar-pelajar dengan nilai-nilai murni. Suatu ketika, kita dihantui kebimbangan apabila banyak IPTS membawa masuk tenaga pengajar luar yang mengutamakan bahasa Inggeris di samping membawa masuk bersama mereka kebudayaan kuning yang turut mempengaruhi para pelajar kita sehingga masalah pergaulan bebas dalam kalangan pelajar IPTS begitu membimbangkan.
Kita bimbang perkembangan ini akan menghancurkan aspirasi pendidikan negara untuk melahirkan individu intelek yang bukan sahaja pintar, malahan memiliki akhlak murni serta semangat cinta akan negara yang tinggi. Kewujudan IPTS ini hakikatnya telah memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk mendapatkan pendidikan yang tinggi serta meningkatkan modal insan. Negara juga mendapat faedah dari aspek ekonomi.
(Diubahsuaikan daripada rencana IPTS : Antara Keuntungan dan Tanggungjawab Sosial
oleh Haslina Hassan, Dewan Masyarakat Ogos 2002)
Contoh Jawapan
Petikan membincangkan kesan-kesan negatif akibat penubuhan IPTS di negara ini.
Kos pengajian di IPTS juga jauh lebih tinggi berbanding IPTA. Tidak ramai kaum bumiputera dapat mengikuti pelbagai kursus yang mempunyai nilai komersial dan memenuhi kehendak pasaran pekerjaan. IPTS menerima pelajar-pelajar yang tidak memiliki kelayakan akademik minimum. Tindakan ini menyebabkan IPTS hanya akan melahirkan yang gagal memenuhi spesifikasi pencapaian akademik yang ditetapkan. IPTS tidak menjalankan tanggungjawab membentuk sahsiah serta melengkapkan pelajar-pelajar dengan nilai-nilai murni. Para pelajar kita akan terpengaruh dengan budaya kuning yang dibawa oleh tenaga pengajar luar .
Pihak kerajaan perlulah selalu memantau perkembangan di IPTS. Pihak pentakbir IPTS juga perlulah mengadakan kajian terhadap kualiti pendidikan di institusi mereka.
Kesimpulannya, pihak-pihak yang terlibat secara langsung dengan IPTS perlulah menguruskannya dengan baik agar mutu pendidikan negara diiktiraf di seluruh dunia.
(123 patah perkataan)

TEKNIK MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN : Soalan 2(a), (b), (c), dan (d)
1. Baca soalan sebelum membaca petikan.
2. Kenal pasti jenis soalan
3. Soalan boleh terdiri daripada beberapa jenis
i. Jenis fakta – jawapan perlu dicari daripada petikan
ii. Maksud frasa – calon perlu mengemukakanmaksud berdasarkan konteks
iii. Jenis KBKK – perlu menggunakan kemahiran berfikir untuk mengemukakan jawapan.
iv. Jenis sastera – perlu menjawab berdasarkan aspek sastera.
4. Fahami kehendak soalan berdasarkan kata kunci.
Contoh :
i. Nyatakan/ senaraikan – tidak memerlukan penjelasan / keterangan
ii. Jelaskan/ huraikan – memerlukan huraian / keterangan
5. Tentukan bilangan isi yang perlu ada jawapan. Biasanya 1 isi = 1 markah.
6. Calon mestilah mengemukakan isi yang mencukupi.
7. Jawapan perlu dalam ayat yang lengkap. Mesti ada subjek dan predikat.
8. Calon disarankan menggunaka sebahagian frasa daripada soalan.
9. Jawapan dalam bentuk ‘point’ akan hanya layak mendapat sebahagian sahaja daripada markah yang diperuntukan.
10. Jawapan mesti dalam ayat yabg gramatis.
11. Elakkan melakukan kasalahan tatabahasa
12. Jawapan yang tidak/ kurang gramatis atau mempunyai kesalahan bahasa yang ketara mungkin akan ditolak markah.
CONTOH JAWAPAN
Soalan :
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.
Mariah menyapu air mata yang membasahi pipinya. Hatinya hancur oleh perlakuan ayah. Selama dua hari dia memintas ayah di stesen bas. Ketika ayah bergerak dalam barisan orang ramai sambil menadah tangan, hatinya luluh. Dia menahan pilu dan ngilu dari seberang jalan.
Apabila ayahnya bergerak ke arah jalan yang lengang, Mariah bergerak mengikutnya dari belakang. Dia percepatkan langkah dan bercakap perlahan-lahan dari belakang.
“Ayah melakukan dalam keadaan sedar,” katanya ketika ayahnya tersandar pada tangga rumahnya yang kecil itu. “Semalam orang melihat ayah terhoyong-hayang di belakang kedai gunting.” Mariah menangis semahu-mahunya.
Pagi tadi ayahnya mengharukan dia lagi. Ketika Mariah melangkah keluar, ayahnya menegurnya.
(Dipetik daripada cerpen Mariah karya Sharif Putera,
Antologi Kerusi, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000).
(a) Mengapakah Mariah begitu sedih dan kecewa terhadap ayahnya?
[2 markah]
(b) Pada pendapat anda wajarkah Mariah menegur perbuatan ayahnya itu?
[4 markah]
(c) Jelaskan dua pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas dan dua pengajaran lain yang terdapat dalam cerpen ini.
[4 markah]
Jawapan :
(a) Mariah begitu sedih dan kecewa terhadap ayahnya kerana ayahnya meminta sedekah daripada orang ramai dan pernah mabuk di belakang kedai gunting.
(b) Pada pendapat saya Mariah wajar menegur perbuatan ayahnya itu kerana perbuatan ayahnya meminta sedekah telah memalukan keluarga dan sikap suka mabuk salah di sisi agama. Selain itu, teguran ini juga memungkinkan ayahnya mengubah tabiat buruknya dan menjadi orang yang bertanggung jawab terhadap keluarga.
(c) Dua pengajaran yang terdapat dalam petikan di atas kita janganlah melakukan sesuatu yang boleh memalukan keluarga dan kita perlulah mengambil berat masalah keluarga. Dua pengajaran lain yang terdapat dalam cerpen ini kita janganlah mudah berputus asa apabila menghadapi masalah dan kita perlulah saling bantu membantu antara satu sama lain.

TEKNIK MENJAWAB SOALAN TATABAHASA : Soalan 3(a), (b), (c), (d) dan (e)
1. Baca arahan soalan dan soalan dan fahami kehendak soalan
2. Terdapat lima soalan dalam bahagian tatabahasa
Soalan 3(a) : bina ayat
Soalan 3(b) : sintaksis
Soalan 3(c) : mengenalpasti dan membetulkan kesalahan ejaan dan imbuhan
Soalan 3(d) : mengenalpasti dan membetulkan kesalahan penggunaan kata / istilah dan kesalahan bahasa
Soalan 3(e) : aspek peribahasa
3. Teknik menjawab soalan 3(a) : Bina ayat
i. Fahami maksud perkataan yang dikemukakan
ii. Kenalpasti fungsi perkataan tersebut
iii. Jika pasangan kata – fahami perbezaan makna dan fungsi perkataan
iv. Ayat yang dibina mestilah mengandungi subjek, predikat dan keterangan (ayat jangan terlalu ringkas dan jangan terlalu kompleks)
v. Ayat yang anda bina itu mestilah menggambarkan anda faham akan maksud perkataan tersebut.
vi. Ayat mesti gramatis, logik dan positif.
vii. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.
viii. Elakkan melakukan kesalahan tatabahasa walaupun yang ringan (cth : kesalahan tanda baca)
Contoh soalan :
(a) Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas
(i) reka bentuk
(ii) rukun tetangga
(iii) rumah tangga
(iv) temu duga
(v) ulang kaji
(vi) urus setia
[6 markah]
Contoh jawapan :
(i) Reka bentuk bangunan yang terkenal dan dikagumi oleh kebanyakan pelancong itu telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia.
4. Teknik menjawab soalan 3(b)
i. Terdapat berbagai bentuk soalan yang boleh dikemukakan
• Menamakan jenis ayat
• Menukar ayat cakap ajuk kepada cakap pindah atau sebaliknya
• Menukat ayat aktif kepada ayat pasif atau sebaliknya
• Menukar pola ayat biasa kepada ayat songsang atau sebaliknya
• Menggabungkan ayat atau mencerakinkan ayat
ii. Jawab soalan seperti yang diarahkan dalam soalan.
Contoh soalan
(b) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan pola ayat dasar bagi ayat-ayat tersebut.
(i) Encik Imran peguam di syarikat guaman di Johor Bahru.
(ii) Hadiah itu untuk ayah saya sempena hari lahimya esok.
(iii) Pemain skuasy negara itu sungguh handal.
(iv) Puan Hayati doktor pakar sakit puan di Hospital Tawakal.
(v) Mahasiswa itu mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
(vi) Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya sangat cantik.
[6 markah]
Contoh jawapan :
i. Frasa nama (FN) + Frasa nama (FN)
ii. Frasa nama (FN) + Frasa sendi nama (FSN)
iii. Frasa nama (FN) + Frasa adjektif (FA)
iv. Frasa nama (FN) + Frasa nama (FN)
v. Frasa nama (FN) + Frasa kerja (FK)
vi. Frasa nama (FN) + Frasa adjektif (FA)
5. Teknik menjawab soalan 3(c) : mengenalpasti dan membetulkan kesalahan ejaan dan imbuhan
i. Calon perlu mengenal pasti perkataan yang mempunyai kesalahan ejaan dan imbuhan dan betulkan kesalahan tersebut.
ii. Jika soalan menghendaki anda meyalin semula ayat dan gantikan kesalahan dengan perkataan yang betul maka anda perlu salin semula.
iii. Jika soalan menghendakli anda senarai perkataan yang salah dan betul, maka anda hanya perlu senaraikan.
Contoh soalan :
(c) Dalam setiap ayat di bawah, terdapat satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan penggunaan imbuhan. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan. Anda tidak perlu menyalin ayat itu serrtula.
(i) Kepulangan petinju negara yang memperolehi pingat emas dalam Sukan Komanwel telah disambut dengan meriah.
(ii) Wabak selsema burung akan menjadi merbahaya kepada penduduk dunia sekiranya tidak dicegah dari awal.
(iii) Pengusaha gerai satay itu telah memperisteri anak lelakinya dengan anak pengusaha Restoran Azizah.

[6 markah]
Contoh jawapan :
(i) petinju (salah) - Peninju (betul)
memperolehi (salah) - memperoleh (betul)
(ii) selsema (salah) - selesema (betul)
merbahaya (salah) - berbahaya (betul)
(iii) satay (salah) - sate (betul)
memperisteri (salah) - memperisterikan (betul)

6. Teknik menjawab soalan 3(d) : kesalahan penggunaan kata / istilah dan kesalahan bahasa
* teknik menjawab soalan 3(d) sama dengan teknik menjawab soalan 3(c) – perbezaannya hanyalah dalam aspek jenis kesalahan sahaja
7. Teknik menjawab soalan 3(e) : tatabahasa
i. Terdapat beberapa kemungkinan bentuk soalan.
• Nyatakan peribahasa
• Bina ayat berdasarkan peribahasa
• Berikan maksud peribahasa
• Nyatakan situasi berdasarkan peribahasa dsb.
ii. Cara menulis jawapan bergantung kepada arahan soalan.

Contoh soalan
(e) Baca petikan-petikan di bawah dengan teliti, kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam petikan-petikan tersebut.
i. Pengurus bank itu telah melakukan kesalahan pecah amanah dan akan didakwa di mahkamah. Dialah yang bertanggungjawab terhadap segala urusan bank tetapi dia pula yang melakukan perbuatan yang keji itu.
ii. Walaupun Asmadi telah lama tinggal di Australia, sebuah negara yang maju tetapi dia tetap berhasrat untuk kembali semula ke Malaysia dan menetap di sini walaupun Malaysia tidak semaju Australia.
iii. Adnan telah bergelar pelawak yang terkenal. Kini dia ingin pula menjadi seorang pelakon, namun bakatnya tidak terserlah dalam bidang lakonan malah jenakanya pula tidak lagi mendapat sambutan daripada peminatnya.
[6 markah]
Contoh jawapan
(e) i. Harapkan pagar, pagar makan padi.
ii. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.
iii. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
8. Calon-calon diingatkan membaca arahan soalan dengan teliti kerana teknik menjawab bergatung kepada kehendak dalam arahan soalan.


TEKNIK MENJAWAB SOALAN NOVEL : Soalan 4(a) dan (b)
1. Kenal pasti kata kunci soalan
2. Tulis pernyataan berkaitan kata kunci soalan
3. Tulis huraian yang menyokong pernyataan yang dikemukakan. Huraian tidak perlu terlalu panjang tetapi mesti jelas. Dalam huraian perlu ada :
a. Watak
b. Peristiwa
c. Ayat peneguhan
4. Bilangan isi yang diperlukan ialah dua hingga tiga isi.
5. Bahasa yang digunakan perlu jelas. Jangan melakukan banyak kesalahan tatabahasa.
6. Nyatakan novel yang anda gunakan dalam jawapan
7. Jawapan tidak memerlukan pendahuluan dan kesimpulan.
8. Anda digalakkan menulis jawapan dalam bentuk perenggan. Satu perenggan untuk satu idea (pernyataan + huraian)
9. Jangan tulis jawapan dalam bentuk ‘point’.
CONTOH JAWAPAN
Soalan :
Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel berikut
(i) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusof
(ii) Julia karya Abu Hassan Morad
(a) Huraikan pengajaran yang terdapat dalam novel yang telah anda kaji.
[7 markah]
(b) Berdasarkan dua buah novel yang anda telah kaji, jelaskan satu persoalan daripada setiap novel tersebut.
[8 markah]
Jawapan :
4(a)
Novel yang saya kaji ialah novel Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusof. Salah satu pengajaran yang terdapat dalam novel ini ialah kita janganlah bersikap sombong dan memandang rendah keupayaan orang lain. Sang Arnab Putih bersikap sombong dan bangga diri dengan ketangkasan berlari yang dimilikinya di samping memandang rendah keupayaan Tuk Kura yang dianggap sangat lembap pergerakannya. Sikap sombong ini telah membawa padah kepada Sang Arnab Putih apabila dia telah tewas dalam perlumbaan dan terpaksa menanggung malu.
Selain itu, pengajaran lain ialah kita hendaklah mengamalkan semangat kerjasama dan tolong-menolong dalam kehidupan. Seluruh warga rimba telah bekerjasama dan tolong menolong bagi menjayakan perlumbaan kedua antara Sang Arnab Putih dengan Tuk Kura. Sang kancil telah bertindak sebagai penganjur manakala sang murai dan sang tupai membantu menghebahkan maklumat perlumbaan kepada warga rimba. Sang gajah dan sang belang pula telah bertindak sebagai pengadil. Berkat kerjasama semua pihak perlumbaan ini telah berlangsung dengan jayanya.
4(b)
Dua buah novel yang saya kaji ialah novel Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj. Yusof dan Julia karya Abu Hassan Morad. Persoalan yang dipaparkan dalam novel Perlumbaan Kedua ialah mempertahankan maruah kaum. Kaum kura-kura terus berusaha untuk mempertahankan maruah kaumnya dengan berlatih bersungguh-sungguh untuk memenangi perlumbaan kali kedua. Sang arnab juga berusaha untuk menebus kembali maruah kaumnya yang telah kalah dalam perlumbaan pertama dengan cuba untuk mengalahkan kaum kura-kura dalam perlumbaan kali kedua. Dalam hal ini, Tuk Kura telah berjaya mempertahankan maruah kaumnya tetapi sang arnab telah gagal.
Novel Julia pula memaparkan persoalan tentang keruntuhan akhlak golongan remaja. Rasyid dan rakan-rakanya suka berfoya-foya dan bergaul bebas antara lelaki dengan perempuan serta melakukan maksiat. Julia juga hampir-hampir terjebak melakukan maksiat kerana bergaul bebas dengan Rasyid dan rakan-rakannya. Namun begitu, Julia akhirnya insaf dengan mula mendalami agama dan tidak terlibat dengan gejala keruntuhan akhlak lagi.